amalan harian mengikut sunnah

bagi saya dalam membuat entry tentang agama…ianya bukan sekadar nak buat post biasa. atau entry yang hanya nak penuhkan blog saja. dengan mengambil pesanan dari suami yang menyatakan:

“jika  hal yang berkaitan dengan agama ini, apa yang kita sebarkan itu…adakah kita amalkan? jangan tulis sesuatu untuk mengingatkan orang lain…sedangkan diri sendiri langsung tak buat.”

amaran ‘keras’ itu menjadi pedoman buat saya hingga sekarang. justeru apa saja entry di ruangan islam agamaku adalah lahir dari hati nurani saya…yang mana saya terlebih dahulu telah lakukannya…alhamdulillah.

terkini…saya terpanggil untuk berkongsi dengan pembaca tentang amalan harian mengikut sunnah Nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.

selalu kita dengar orang cakap ‘ikut sunnah Nabi’. tapi sunnah itu terlalu banyak. jadi perkongsian ini hanyalah amalan harian yang mudah dan ringkas saja, yang telah saya susun mengikut keperluan kita.

saya yakin ada pembaca di luar sana yang lebih arif dalam hal ini, maka jika ada kekhilafan dalam entry ini sila maklumkan kepada saya dengan segera… 🙂

1. sebelum tidur > beristighfar 3x > baca selawat Nabi; allahumma solli ala muhammad, wa ala ali muhammad  3x > baca surah al ikhlas 3x > zikir; subhanallah walhamdulillah hingga allahuakbar. berzikir hingga terlelap.

2. cara tidur > mengiring ke kanan, tangan kanan diletakkan di bawah pipi. atau tidur terlentang sambil kaki kanan di atas kaki kiri. jangan menggangkat kedua-dua tangan ke atas. sebaliknya satu tangan hendaklah diturunkan.

3. bangun tidur > sapu muka dengan tangan > baca doa bangun tidur > bersugi atau gosok gigi > menyemburkan air dari hidung setelah menyedutnya 3x

4. masuk bilik air > baca doa masuk tandas > langkah kaki kiri > keluar tandas kaki kanan. jika membuang hajat tutup kepala dengan kain atau tuala> baca doa keluar tandas.

5. pakai baju > mulakan dengan bismillahhirrahmanirrahim > sarung tangan kanan dahulu, bagi seluar dan kain,  sarung kaki kanan > untuk buka pakaian keluarkan tangan kiri dahulu,  juga kaki kiri untuk seluar atau kain.

6. pandang cermin > baca doa mengadap cermin.

7. keluar rumah > baca ayatul kursi atau 3Qul > mulakan langkah kaki kanan.

8. balik masuk rumah > baca bismillahhirrahmanirrahim di muka pintu dan bagi ucapan salam, walaupun tak ada orang di rumah.

9. makan > makanlah buah sebelum makan nasi > jangan makan daging dan ikan serentak, haiwan darat dan air tidak boleh dimakan serentak > mulakan makan dari sisi pinggan hingga ke tengah > jika minum air gunakan tangan kanan > selesai makan jilat jari dan berkumur.

10. makan buah delima > Nabi berpesan supaya kita makan buah delima sekurang-kurangnya sebulan sekali. kerana khasiat delima itu mengeluarkan racun dalam badan.

 

ddmk: insya Allah moga ada keberkatannya. bersamalah kita amalkan.

Salam Ramadhan 1433H

 

alhamdulillah….panjang umur kita dan dikurniakan dengan kesihatan yang baik. dapat pula bertemu lagi dengan bulan yang membawa seribu rahmat ini.

wahai sahabat! berdoalah, berharaplah, bermunajatlah kepada Allah swt didalam bulan yang mulia ini. mohonlah, pintalah…apa jua cita-cita dan hajat yang diingini. apatah lagi memohon keampunan dan kemaafan di atas segala kesilapan dan ketelanjuran dosa -dosa silam yang telah kita perbuat.

sebagai manusia biasa memang tidak akan lari dari membuat kesalahan. terkadang kita melakukannya dengan sengaja, mungkin juga secara tidak sengaja. atau barangkali kita membuat sesuatu kesalahan secara terang-terangan dan mungkin juga secara sembunyi-sembunyi.

kita seharusnya akur dengan kelemahan pada diri. pasang surutnya iman kita sentiasa menguji untuk lalai kepada suruhan Allah swt.

umum mengetahui banyak kelebihannya di bulan Ramadhan ini.  Allah swt memberikan dorongan untuk kita berusaha memperbanyakkan ibadah dengan melipatgandakan pahala dan ganjarannya yang tiada di bulan-bulan yang lain.

disediakan satu malam yang lebih baik iaitu ‘Lailatul Qadar’ di mana kelebihannya menandingi 1000 bulan.

wahai sahabat sekalian, biarpun banyaknya dosa kita seperti butiran pasir di pantai… tingginya bak gunung ganang…dalamnya seluas lautan, namun dengan sifat ar-rahman dan ar-rahim Allah swt tuhan yang Maha Esa, semua dosa-dosa kita akan dihapuskan asal saja kita mengaku atas semua kesalahan itu dan bertaubatlah tidak akan mengulanginya lagi.

rahmat dan pengampunan Allah swt maha luas, justeru pohonlah keampunan dariNya.

semoga Ramadhan kali ini akan memberi lebih erti dengan kehadiran keinsafan yang tulus dari hati kita semua. lakukanlah ibadah dengan ikhlas seperti kita akan mati pada esok hari. dalam pada itu juga teruskanlah mencari rezeki seperti kita akan hidup seribu tahun lagi…..

 

ddmk: masih mencari…

istimewanya bulan rejab

alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan umur untuk bertemu bulan Rejab yang hadir setiap tahun.

harapnya janganlah kita hanya meraikan kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal saja, kerana setiap bulan islam ada kelebihannya.

apabila tiba bulan yang mulia ini Nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A W akan berdoa: “Ya Allah, berkatilah bulan Rejab dan Syaaban bagi kami, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”

umum mengetahui banyak keistimewaan bulan Rejab. disamping amalan berpuasa sunat, kita dianjurkan membaca doa Istighfar Rejab untuk memohon keampunan kepada Allah swt diatas setiap dosa yang telah kita lakukan.

terdapat pelbagai doa Istighfar Rejab yang baik untuk diamalkan. doa didalam entry ini adalah salah satu darinya. jadikanlah ianya wirid dan amalan harian disepanjang bulan Rejab yang diberkati ini.

moga perkongsian kisah dan doa ini akan memberikan kebaikkan kepada semua pembacanya….insyaallah.

Satu ketika di zaman Nabi Muhammad S.A.W, terdapat seorang perompak jalanan yang terkenal. Apabila lelaki tersebut meningggal dunia, anak perempuannya tidak menemui seorang pun yang boleh membantunya menguruskan jenazah ayahnya.

Allah swt telah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan berkata, “Wahai kekasihKu, ya Muhammad! hari ini seorang daripada wali Ku telah meninggal dunia. Kamu mesti pergi dan memandikan jenazahnya, mengkafankannya, menyembahyangkannya serta mengkebumikannya.”

Dengan serta merta, Nabi Muhammad S.A.W memanggil Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan berkata, “Wahai Abu Bakar, kita perlu pergi dan dapatkan ‘lelaki’ tersebut. Abu Bakar berkata, “Ya Rasulullah, kamu pernah berkata yang kamu tidak akan mengkebumikan lelaki tersebut di tanah perkuburan orang Islam, dia bukan seorang muslim!.”

Nabi Muhammad S.A.W berkata, “Tidak, tinggalkan persoalan Muslim. Allah swt memberitahuku hari ini yang lelaki tersebut adalah seorang wali!.”

Nabi S.A.W pergi dengan sahabat-sahabatnya. Kemudian, baginda membersihkan jenazah lelaki tersebut, memandikannya, mengkafankannya, menyembahyangkannya dan seterusnya membawa jenazah untuk dikebumikan.

Setelah semuanya selesai, Saidina Abu Bakar dan Nabi S.A.W. dengan sendirinya pergi bertanyakan apa yang telah dilakukannya arwah itu semasa hayatnya: “Wahai anakku, sila ceritakan kepadaku bagaimanakah kehidupan ayahmu.”

Anak perempuan lelaki tersebut berkata, “Wahai Rasulullah, aku begitu malu dengan apa yang akan aku ceritakan kepada mu. Ayahku seorang perompak, seorang pembunuh. Aku tidak pernah melihat dia melakukan sebarang kebaikan. Dia akan merompak dan mencuri siang dan malam kecuali satu bulan.

Setiap tahun, apabila datang bulan Rejab-bulan Allah, ayahku akan duduk bersendirian dan membaca doa siang dan malam, menangis dan membaca, kecuali keluar untuk makan dan membersihkan diri. Apabila bulan Rejab berakhir, dia akan bangun dan berkata, bulan Allah telah tamat, sekarang untuk menggembirakan ku, aku akan kembali merompak dan mencuri untuk 11 bulan yang akan datang.

Allah swt berfirman kepada Nabi S.A.W., “Wahai Nabi yang Kucintai, orang itu telah datang dan memohon keampunan dari Ku di dalam bulan yang sangat berharga. Oleh sebab itu, kerana dia berkorban sekurang-kurangnya satu bulan dalam setahun untuk Ku, Aku ampunkan semua kesalahannya, dan aku tukarkan semua dosanya kepada ganjaran. Kerana dia mempunyai terlalu banyak dosa, sekarang dia mempunyai banyak ganjaran, dan dia kini menjadi wali besar.”

Kerana satu doa, Allah swt jadikan seseorang yang tidak pernah beribadat sepanjang hidupnya menjadi wali. hanya Allah swt jualah yang lebih mengetahui daripada apa yang tidak kita ketahui….subhanallah..

 

* Inilah tafsiran doanya…

DOA ISTIGHFAR REJAB.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…

~ Aku memohon ampun kepada Allah, Yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia, yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri. Aku bertaubat kepada-Nya dari semua perbuatan durhaka dan dosa. Aku bertaubat kepada-Nya dari semua ucapan, perbuatan, pendengaran, penglihatan, dan fikiran yang dibenci Allah.

~ Ya Allah, sesungguhnya aku memohon ampun atas dosa yang telah aku kerjakan di masa lalu mahupun yang mungkin akan aku kerjakan di masa yang akan datang, dosa yang disebabkan kerana aku melanggar batas-batas ajaran agama, dosa yang aku sembunyikan atau yang aku tampakkan, serta dosa yang Engkau lebih mengetahuinya daripada aku sendiri. Engkau Yang Maha Mendahulukan lagi Maha Mengakhirkan, dan Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

~ Ya Allah, sesungguhnya aku memohon keampunan atas setiap dosa yang aku lakukan kembali setelah aku bertaubat kepada-Mu. Aku memohon ampun atas suatu amalan yang aku maksudkan untuk-Mu, Yang Maha Mulia, tetapi aku telah mencampurkan amalan tersebut dengan sesuatu yang tidak Engkau redhai. Aku memohon ampun atas janjiku kepada-Mu yang kemudian aku khianati.

~ Aku mohon ampun atas perbuatan yang mengikuti hawa nafsu yang sebelumnya aku kira merupakan keringanan dari-Mu, padahal terlarang menurut-Mu. Aku memohon ampun kerana kenikmatan-kenikmatan yang telah Engkau berikan kepadaku telah aku manfaatkan untuk kedurhakaan.

~ Aku memohon ampun atas segala dosaku yang tidak ada yang dapat menghapuskannya selain Engkau dan tidak ada yang mengetahuinya selain Engkau. Tidak ada sesuatu pun yang akan mampu menghapuskan dosaku kecuali dengan rahmat dan kemurahan-Mu. Dan tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamatkanku dari dosa kecuali dengan ampunan-Mu.

~ Aku memohon ampun kepada-Mu untuk setiap pelanggaran sumpah yang telah aku ucapkan, padahal aku telah terikat dengan sumpah itu di sisi-Mu. Aku memohon ampun kepada-Mu, wahai Dzat yang tiada Tuhan selain Engkau. Mahasuci Engkau, sesungguhnya aku termasuk ke dalam golongan orang-orang yang zalim.

~ Aku memohon ampun kepada-Mu, wahai Dzat yang tiada Tuhan selain Engkau, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang tampak dari setiap kejahatan yang aku perbuat di terangnya siang maupun gelapnya malam, kejahatan di saat makhluk-Mu penuh dengan kesibukan mahupun senggang, yang tersembunyi mahupun terang-terangan, dan Engkau melihatku ketika aku melakukannya. Engkau Maha Melihat kesalahan dan kedurhakaan yang pernah aku lakukan, baik kerana kesengajaan, kesalahan, maupun lupa. Wahai Yang Maha Penyantun lagi Maha Mulia.

~ Aku memohon ampun, wahai Dzat yang tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk ke dalam golongan orang-orang yang zalim. Wahai Tuhan, ampunilah aku, kasihilah aku dan terimalah taubatku, kerana Engkaulah Yang Maha Penyayang diantara para penyayang.

~ Ya Allah, aku memohon ampun untuk setiap kali aku meninggalkan kewajipan yang telah Engkau wajibkan kepadaku untuk mengamalkannya sepanjang malam dan siang kerana sengaja, salah, lupa, atau lalai, padahal aku akan diminta dipertanggungjawakan terhadap kewajipan tersebut.

~ Aku memohon ampun kerana berulang kali meninggalkan sebahagian atau seluruh sunah Nabi Muhammad SAW junjungan para Rasul dan penutup para nabi- kerana aku lalai, malas, bodoh, atau lengah, sedikit mahupun banyak.

~ Dan aku memohon ampun kepada-Mu, wahai Dzat yang tiada Tuhan selain Engkau, Tuhan semesta alam. Kepunyaan-Mu segala kerajaan, milik-Mu segala pujian, dan bagi-Mu ucapan syukur. Cukuplah Engkau bagi kami, yang menjadi sebaik-baik Pemelihara, Pelindung dan Penolong bagi kami.

~ Tidak ada kemampuan dan kekuatan melainkan yang berasal dari Allah, Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

~ Semoga Allah melimpahkan selawat dan kesejahteraan sebanyak-banyaknya kepada junjungan kami, Nabi Muhammad SAW, beserta keluarga dan sahabatnya. Segala puji hanya milik Allah, Tuhan semesta alam.

 

ddmk: amin..ya rabbal alamin..

sedekah panjangkan umur

Hadis Nabi:

Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegahnya daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”

~ Riwayat Bukhari.

sedekah yang wajib seperti zakat harta dan zakat fitrah semua orang sedia maklum. bahkan kalau tak sempat nak bayar zakat fitrah menjelang hari raya aidilfitri….memang sesuatu yang sangat memalukan.

sebagai orang islam, kita digalakkan memberi sedekah sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah swt.

sebab itulah menjadi pemandangan biasa tatkala hari jumaat, lihatlah meja yang disediakan oleh pihak masjid. penuh dengan buah pisang, bungkusan makanan, tong besar bekas air sirap dan kadang-kadang ada kuih dan nasi. selain pemberian daripada seseorang yang hajatnya tercapai, tak kurang juga yang sekadar memberi sedekah.

setiap sedekah yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah swt semata-mata akan diberikan ganjaran pahala. bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.

~ faedah sedekah di dunia adalah seperti seseorang itu akan dimurahkan rezekinya oleh Allah swt, terhindar daripada bala bencana, dipanjangkan umur dan mencegah daripada kematian yang buruk.

orang yang selalu bersedekah akan dilindungi daripada ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematian dalam keadaan yang ngeri atau mati dalam keadaan tidak beriman (su’ul khatimah). kerana sedekahnya itu sebenarnya membawa rahmat.

di samping itu ianya menghapuskan sifat sombong, takbur dan menunjuk-nunjuk dengan pemberiannya.

~ manakala faedahnya di akhirat pula ialah seseorang itu akan mendapat naungan daripada panas terik di padang Mahsyar dan mendapat perlindungan daripada api neraka. rasanya, dikalangan kita pernah mendengar kisah yang berlaku di zaman nabi iaitu:

seorang hamba Allah swt yang kaya tetapi sombong. suatu malam beliau telah menghulurkan sekeping roti kepada peminta sedekah yang kelaparan. apabila beliau meninggal dunia, sekeping roti itulah yang menjadi perisai setiap kali dia disambar api neraka. sedang pakaiannya habis rabak dan hangus.

dalam amalan bersedekah ini, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah swt, bukan mengharapkan balasan nama atau sekadar bersedekah kerana orang lain pun bersedekah.

 

# agar sedekah kita tidaklah menjadi sia-sia, Islam mengajarkan umatnya menyumbang dan bersedekah menepati erti ‘sedekah’ iaitu :

1. sedekahlah dengan barang yang disenangi penerimanya. Allah swt melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah swt.

2. sesuatu yang disedekahkan ialah yang halal, bukan haram atau subahat.

3. sunat bagi pemberi sedekah menderma daripada benda yang disukai dan disayanginya, tidak kira sama sedikit atau banyak sebagaimana firman Allah swt yang maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Ali-Imran:92)

4. bersedekahlah dengan disertai keikhlasan. selepas itu jangan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah itu kerana perbuatan ini adalah haram dan pahalanya akan terhapus.

5. sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdhal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya.

 

~ di malaysia memang mudah untuk kita bersedekah. banyak surau dan masjid yang sentiasa menerima pemberian kita. tapi di qatar ni macam mana ye?

almaklumlah negara kaya….susah nak mencari orang miskin. apatah lagi jika kapasiti sedekah kita mungkin tak sebanyak mana.

tetapi kalau memang dah tertanam dalam diri sifat suka memberi…inilah kisah seorang sahabat kami. beliau dah 4 tahun tinggal di doha.

dia akan tapau nasi atau roti beberapa bungkus. kemudiannya dia akan keluar mencari pekerja am yang sedang menyapu sampah di tepi jalan atau yang sedang siram bunga kat tepi roundabout. disitulah dia menghulurkan sedekahnya dengan ikhlas dan sepenuh hati.

 

 

ddmk: bersedekahlah…kerana ia tidak mengurangkan harta.

sehari 10 ayat~hanya 1 minit

Hadis Nabi:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah Al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

~Riwayat Muslim.

Al-Quran merupakan kalam Allah swt dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. diturunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

membaca Al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah swt. pahalanya amatlah besar. antara yang selalu disebut-sebut ialah, sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya.

semasa membaca Al-Quran, ianya hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah swt.  antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih.

memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan. dan jagalah makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

pembacaan Al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar. banyak kitab tafsiran yang dijual di pasaran. atau kita boleh saja rujuk di internet. download Al-Quran Explorer dan mulakanlah menghayati tiap baris ayatnya.

dengan kecanggihan zaman sekarang, Al-Quran boleh dibaca melalui laptop. ditambah pula dengan adanya iphone dan ipad, ianya lebih memudahkan.

semasa mengerjakan umrah tahun lepas, di dalam masjidil haram, duduk disebelah saya ialah seorang wanita yang sedang menyusukan anaknya. dalam masa yang sama dia tengah mengaji Al-Quran dengan tenang dan khusyuk. dia tidak menggunakan senaskah Al-Quran, tetapi sebuah ipad.

wahai sahabat…tiada alasan untuk kita memandang sepi mukjizat Al-Quran ini. janganlah dibiarkan 1 minit itu berlalu kosong. bangunlah! segera berwuduk. dan bacalah! insyaallah moga kita bersama mendapat kebaikkan darinya. mudah-mudahan.

Hadis Nabi:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : “Perumpamaan Mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap.

Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca Al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

~ Riwayat Bukhari dan Muslim

 

ddmk: bersamalah kita amalkannya.. 🙂