setelah 4 bulan

Assalammualaikum semua…kepada sahabat, keluarga dan kenalan di blog ini. terima kasih yang tak terhingga kepada yang masih sudi singgah di laman sembang santai kehidupan saya di perantauan..walaupun dah 4 bulan tak update apa-apa khabar beritanya aktiviti kat sini.

ada sebab yang mengganggu tumpuan saya. kini setelah 4 bulan berlalu…barulah semangat untuk menulis datang.

awal Januari lalu saya balik malaysia dan pertengahan Febuari kembali ke doha.

pada malam terakhir sebelum berangkat pulang ke qatar, satu panggilan telefon pukul 4 pagi itu sangat merentap jiwa saya. airmata mula keluar dan saya menangis seperti budak kecik. pintu bilik mak dan abang-abang saya ketuk sambil tangan masih menggenggam telefon.

tanggal 14 Febuari 2013 keluarga kami telah kehilangan seorang insan yang sangat kami harapkan moga dia akan sembuh. tapi kuasa Allah itu melebihi segalanya. saya kehilangan anak buah lelaki yang berusia 13 tahun. Muhammad Nur Syaaban..meninggal dunia sekitar pukul 3 pagi kerana sesak nafas.

lantas dengan pantas saya bersiap, 3 bagasi yang sarat dengan pelbagai barang untuk dibawa ke doha diheret ke bonet kereta. dalam perjalanan dari negeri sembilan ke selangor pukul 5 pagi itu..ditemani dengan mak…saya membatukan diri. mak berzikir perlahan dalam hibanya seorang nenek yang kehilangan cucu.

saya juga menitipkan kalimah-kalimah suci untuk arwah. juga untuk diri saya…sebab saya perlu fokus! airmata yang sentiasa mengalir mengganggu emosi. tangan memegang erat stereng kereta dan terasa macam nak pecut laju-laju.

saya menyanyangi semua 23 orang anak buah….tapi yang seorang ini ada sejarah yang tersimpul rapi. kelahirannya dulu di malam nisfu syaaban…satu malam yang berkat. lalu saya ilhamkan namanya ‘Syaaban’ kepada abang saya…dan diterima baik serta ditambah dengan nama Muhammad Nur.

arwah seorang yang sangat aktif di sekolah. dialah yang mewakil sekolahnya dalam acara catur, badminton, ping pong, bola sepak, renang dan futsal. dalam game catur dia pernah berhadapan satu lawan satu dengan Juara Catur Remaja iaitu individu yang mewakili malaysia di luar negara. but for sure dia kalah tapi pengalamannya itu sangat berharga.

dalam acara renang pula dia satu-satunya pelajar melayu yang layak ke peringkat akhir mewakili zon. walaupun mendapat tempat ke 3 tapi penyertaannya sangat membanggakan pihak sekolah. hanya setapak je lagi untuk melayakkan dia mewakil negeri. selain itu dia diantara top student yang sentiasa mendapat perhatian.

aidilfitri tahun lepas arwah selalu mengadu sakit kepala, dengan membawa ke klinik biasa dia dikatakan hanya mengidap migrain.

hinggalah pada suatu hari dia pengsan, demam dan muntah. apalagi terus dibawa ke hospital. setelah dibuat scan mri… doktor mengesahkan ada tumor di otaknya!

Allahuakbar…..tumor? di otak? bila jadinya? ada 3 tumor di otaknya. bagai luruh jantung kami sekeluarga mendengar penerangan doktor. dah tahap 4 pulak tu. pembedahan boleh dibuat tapi peluangnya hanya 1%. mungkin dia akan meninggal dunia selepas pembedahan atau kalau hidup pun dia akan lumpuh. huh…baik tak payah buat!

lalu ayahnya mencuba pelbagai alternatif lain. puluhan ribu duit dibelanjakan…biarlah berhabis duit..bergolok gadai apa yang boleh asalkan anaknya dapat diselamatkan.

sejak hari tu, kesihatannya mula merosot. Allah menarik nikmat pendengarannya…penglihatannya. nikmat panca inderanya diambil satu per satu. terbayangkah kita melihat dia yang aktif…terus lumpuh? tumor dalam otaknya mengganggu saraf-saraf utama.

alhamdulillah..saya sempat bertemu arwah seminggu sebelum dia pergi. bermalam di rumahnya. berehat di sebelahnya. memegang tangannya..mencium dahinya…berbual walaupun dia dah tak dengar. di saat akhir saya nak balik dia menggenggam erat tangan saya.

dia menciumnya berkali-kali…dan tak nak lepaskan. saya biarkan…sampailah dia terlelap…barulah saya perlahan-lahan melepaskan genggamannya.

rupanya dia tahu dia akan pergi meninggalkan saya sebab itulah lain macam caranya menyatakan sayang dan rindunya kepada maksunya ini waktu tu. dah…dah…cukup. tak mampu lagi nak tulis keadaannya disini…biarlah momen itu disimpan baik. dada dah terasa sebak…rasanya kalau diteruskan airmata saya akan jatuh beberapa saat lagi…

arwah telah selamat dikebumikan sebelum zohor. dan flight ke doha pukul 9 malam hari yang sama. memang tak mengganggu pun perjalanan saya…tapi saya batalkan flight malam tu. kerana hati masih bersama keluarga…ingatan tertumpu pada arwah Syaaban

kenangan dia mencium tangan saya dengan pandangan mata yang sayu menghalang untuk saya balik. panggilan ‘maksu’ yang diucapkannya berkali-kali itu masih terngiang-ngiang di telinga. genggaman tangannya yang lemah turut melintas difikiran. saya perlu tunggu kenduri tahlil 3 malam. iya! muktamad.

episod kehilangan seorang anak buah yang saya sayang, sangat memberi kesan.

patutlah Allah gerakkan saya balik ke malaysia…untuk saya sempat bersamanya sebelum dia pergi, untuk saya mencium dahinya yang sejuk kaku, untuk saya merakamkan wajahnya diminda buat kali terakhir, untuk saya mengiringi jenazahnya, untuk saya menyiram air mawar di pusaranya….dan untuk saya menghidu harum bau kuburnya.

 

ddmk: Ya Allah…hari ini nisfu syaaban…saat kelahirannya terpamer di ingatan.

apa itu cinta?

the great love story never end…..segugus cinta yang suci takkan mudah goyah pabila ditiup angin. cinta sejati akan terus mekar didalam hati buat selama-lamanya.

walau di mana kaki berpijak, walau ke hujung dunia telah ku jejak, namun selagi diri ini bernyawa..selagi itulah dirimu kekal ada dalam diriku. larilah…pergilah….hilanglah dari pandangan mataku. tapi mampukah kau melupakan aku?

wahai kekasih yang pernah bertahkta di jiwa, di manakah dirimu? adakah kau jua mengingatiku seperti mana aku mengingatimu? tersentuhkah jiwamu pabila terdengar irama lagu kita dahulu? tidak terusikkah hatimu pabila terdengar suaraku? sering saja terimbas kembali perpisahan yang tak dirancang, namun sedetik itu juga hati memujuk bahawa segalanya ini takdir tuhan. 

ia benar….cinta tak semestinya bersatu. namun mengapa begitu sukarnya melupakan cinta yang satu itu. pastinya dirimu kini sedang melalui hari-hari yang bahagia dalam hidupmu. tapi aku?  

bila ku menoleh ke sisi hidupku yang lalu. terasa naifnya membuat keputusan sewaktu diberi pilihan. aku masih mentah menilai cinta. yang ku tahu cinta itu harus diungkap dengan kata-kata. perlu ditunjukkan dengan gayanya. mesti disirami dengan kasih dan sayang. cinta mesti dikongsi, cinta  harus nampak dimata…cinta mesti dizahirkan!

mengapa perlu menipu hati membiarkan curiga menguasai diri..mengapa perlu menyimpan kasih tapi membisu mengunci kata…sedangkan kita saling menyayangi.

dalam meniti kedewasaan hari demi hari..barulah ku sedar akan sebuah erti cinta yang sebenar. sebuah kisah cinta rahsia yang terpendam rapi. tersimpul sepi. terkunci mati. nilai cinta yang tak pernah ku fikirkan ada sebelum ini,  kini menjadi sebuah kisah pilu yang akan ku sematkan dalam diari hati.

cinta yang agung lahir dari hati yang tulus kasihnya. yang sanggup berkorban demi untuk kelangsungan melihat cinta itu terus wujud walau di taman yang berbeza. biarlah kasih terhenti disitu… kerana telah ku hargai setiap detiknya. biarlah rindu itu berlalu…kerana ku tahu itu akhirnya.

hmmm…setiap manusia akan merasai cinta. tapi masing-masing punyai pengalaman cinta yang berbeza. cinta yang bagaimanakah yang terus hidup subur dalam hati walaupun sebenarnya ia telah lama berlalu?

apakah ada cinta yang mampu bertahan disudut pemikiran walau yang tinggal hanyalah sisa-sisa kelopak rindu? mengapa cinta tidak boleh dibuang saja jauh-jauh? hapuskan cinta, padamkan cinta, kikiskan cinta dari hati. bencilah pada cinta!!

ada yang cintanya hanya separuh jalan, tidak sampai ke penghujungnya. ada yang cintanya berjaya ke singgahsana namun dibadai jua. ada yang cintanya kekal bahagia bersama selamanya. dan ada juga yang temui cinta kedua..cinta baharu yang mampu mengubat luka berdarah yang teramat pedih perit sakitnya yang ditinggalkan oleh cinta pertama.

dimanakah kisah cinta anda? adakah sesekali masih menjentik pintu kenangan? akurlah..walau apapun kisah cinta yang telah kita lalui ianya telah terjadi tanpa dapat diundur lagi. ianya sesuatu yang wajar disimpan dengan ingatan yang berhikmah. agar kisah itu tidaklah pula akan menjadi onar dalam kehidupan yang sedang kita lalui kini.

terpulanglah kepada kita bagaimana caranya untuk menyimpan rahsia cinta hati. jika mampu untuk mengusungnya…teruskanlah. jika tidak mampu…lepaskanlah. kerana hakikatnya sayangilah Allah swt,  kerana Dia lebih layak untuk dicintai sepanjang hayat kita. Dia sentiasa menyayangi kita…tanpa cintaNya siapalah kita di dunia ini.

Dia mahu kita berjuang untuk setiap kemuskilan. Dia mahu kita terus kuat untuk menempuh segala yang telah direncanakan. sedangkan kita hanyalah hambaNya yang lemah yang diberikan nikmat untuk merasa cinta sesama makhluk. kita telah diberikan restu untuk merasai cinta…biarpun ianya sebuah cinta yang hampa.

 

ddmk: hidup ini sangat singkat untuk ditangisi…arrgghhh mengapa pula tersentuh hati malam ni!!

separuh jiwaku terisi

sejak dari qatar nak pulang ke kampung, kelopak mata sebelah kanan ni asyik bergerak-gerak jer. hmm..orang tua-tua cakap maknanya kita nak jumpa orang jauh atau pun melihat sesuatu yang menggembirakan.

alhamdulillah…sejak seminggu yang lepas selain dapat berjumpa keluarga dan saudara mara yang dirindui, saya telah ketemu dengan 3 orang pertama sahabat iaitu Saad, Eda dan Zue. tapi disebabkan saya tergesa-gesa nak mengejar masa..tak puas rasanya berjumpa mereka. sorry yer…insyaallah lain kali kita jumpa lagi.

sepanjang tempoh berada di kampung, saya telah mengaturkan satu perjumpaan dengan sahabat-sahabat yang lain. cadangnya pada 27hb (ahad) pukul 8.30 malam di kedai burger milik Mariam, sahabat kami juga. waktu ni kelopak mata kanan makin kerap bergerak. rasanya mungkin sebab itulah kot..nak jumpa orang jauh!…hehehe….

dan bila sampai masanya….woWW….tak disangka-sangka pertemuan yang pada mulanya saya anggap hanya pertemuan biasa (sekadar makan-makan dan minum-minum dan sembang-sembang) telah bertukar menjadi satu pertemuan yang tak akan saya lupakan!

mana tidaknya malam tu ada game bola sepak Malaysia vs Bahrain. apalagi gamatlah kedai yam dengan hiruk pikuk suara kumpulan kami..walaupun ada pengunjung lain di kedai yam tapi kamilah yang paling kecoh di situ..ehehee..

si Sally dengan komen pedasnya..Sue pulak menambahkan lagi kekecohan. Kery tekun melihat dengan sabar sementara Rashid sekali sekala meluahkan tak puas hatinya. Basri, Redzwan dan Sukri hanya diam tapi tetap memberikan tumpuan.

bila pemain jersi nombor 12 Malaysia merembat kencang bola dari luar petak penalti terus ke gawang Bahrain…hah! golllllllllllllll….bersoraklah kami…gegak gempita…..hahahahahaha…..Yam yang dari tadi sibuk menggoreng daging burger berhenti sekejap untuk melihat aksi ulangan sepakan gol….kami bukan takat menjerit kegembiraan tapi siap bertepuk tangan..dan saya entah macam mana boleh tepuk meja!…fuhhhhh..semangat beb..

walaupun pasukan malaysia kalah 3-2 kepada bahrain. tapi itu tidak sedikit pun mencacatkan mood malam kami….hehehe.

malam yang happening tu diserikan lagi dengan kemurahan hati Basri yang sanggup memborong buah durian!! banyak betul dibawaknya raja buah tu sampai 2 orang diperlukan untuk mengangkat sebakul penuh dengan durian. Kery pulak bawak semangkuk besar buah kundang manis. seronoknya melihat aksi Sally….( makan durian tak guna tangan..boleh bayangkan? )

Minah yang paling lewat tiba tak buang masa. terus mengadap makan kundang. Rashid dan Basri ditugaskan secara sukarela membelah durian-durian tu. kami yang lain bertugas untuk makan…hehee.. setelah puas makan buah, kami makan burger dan nasik lemak pulak.

hmmm…sedappppp! tambah selera lagi bila kita dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang telah kita kenal sejak dari usia 6 tahun dan 7 tahun.

pertalian yang telah terjalin hampir 30 tahun yang lalu benar-benar menambahkan aura ikatan persahabatan kami. walaupun ada diantara kami telah terpisah selama 16 tahun dan 23 tahun, namun dek kerana terlalu banyak memori sewaktu kecik-kecik itulah yang menyatukan kami semula.

sepantas bersua-muka saja kami dah mesra. mulalah membuka kenangan-kenangan lampau semasa sekolah rendah dulu. jika mark si pengasas facebook mudah ditemui ingin saja saya berjumpa dengannya  dan berkata ” terima kasih!! kerana otak geliga anda mencipta facebook saya dapat mencari sahabat-sahabat saya.” 

puas sungguh hati. melihat karenah dan keriuhan sahabat. terubat rindu. malam tu sebelum tidur saya mengimbas setiap usik mengusik dan deraian tawa ria mereka… lalu saya tersentak. rupanya separuh keriangan pulang ke tanahair adalah kerana berjumpa keluarga dan separuh lagi adalah kerana mereka…sahabat saya.

ddmk: mata kanan masih bergerak…hmmm..nak jumpa sape lagi agak nya ni!!

awan

pada bulan julai yang lepas, dengan sengajanya saya ambik flight malam dari qatar untuk pulang ke kuala lumpur.

kononnya senang kira..perjalanan selama 7 jam 30 minit tu separuh darinya bolehlah diisi dengan ketiduran saja…nanti taklah bosan sangat nak melalui perjalanan yang mengkematukan bontot tu..ehekss..

masih ingat lagi tak tentang entry last boarding ? haa…disebabkan dah fobia untuk melalui adegan-adegan tu, maka seawal 3 jam sebelum flight saya dah terpacak kat kaunter check-in.

kali ni juga untuk flight balik ke malaysia pada jumaat 18hb, saya tetap memilih perjalanan malam. same reason. senang nanti tido jer manjang…hehe. tepat jam 8.10 malam kapal terbang pun meninggalkan bumi qatar..bersama tertinggalnya abe matt kita..alahaiii…sedih la pulak..

perjalanan pulang kali ni saya melalui pengalaman yang sangat berbeza. dek kerana perasaan keterujaan yang terlalu melampau untuk berjumpa keluarga dan sahabat-sahabat rinduku semakin dalam..cewahh..macam tajuk lagu pulak….saya tak boleh tido dibuatnya.

puas cuba lelapkan mata..tapi tak gak boleh tido. jadi inilah diari ringkas yang tersemat diminda saya disepanjang berada di dalam flight qatar airways 620, seat 35k. ketinggian dari paras bumi 42,000 kaki. kelajuan 500mph. jauh perjalanan 3,766 batu.

dari qatar ke kuala lumpur :

8.10 – 8.30 malam  – pandang ke tingkap..tengok suasana malam di doha

8.30 malam – pramugari bagi snack kacang, jus buah dan gula-gula

8.30 – 9.10 malam – termenung..dok layan perasaan..hehehe…

9.10 malam – pramugari bagi jus buah dan biskut cokelat

9.10 – 10.10 malam – termenung part 2…@ berangan…ehehehe…

10.10 malam – dinner. saya pilih menu ikan, salad thailand, coklat tiramisu, jus oren, air putih dan air teh

10.30 – 11.45 malam – tengok movie. pilih movie green lantern

11.45 – 12.30 malam – pandang ke tingkap. dah sampai india. wahh…cantiknya view malam. dapat melihat kerdipan lampu kat bumi ni. macam kilauan berlian bagi cahaya putih, dan bagai sinaran emas bagi cahaya kuning. memang cantiklah! hampir 2 jam barulah melepasi india.

12.30 – 2.00 pagi – cuba lagi untuk melelapkan mata. tapi tak gak berjaya. dok pejam celik pejam celik jer. masa ni penumpang lain dah lama tido. pelbagai pesen tido ada ha…hehehe..nasib baik tak ambik gambar!

2.00 pagi – pramugari bagi sandwich dan air panas. saya pilih sandwich ayam dan air teh..(rasa nak tanya dia ~milo takde ke? apa kelas laa…hehe..)

*2.00 pagi waktu qatar, waktu di malaysia ialah 7.00 pagi. waktu ini kami mula menghampiri indonesia. saya semakin tak sabar nak melihat perubahan suasana dari gelap ke terang. bayangkan saya akan melalui kawasan perbezaan zon masa. keluar dari zon gelap ke zon terang!!…subhanallah..

semakin lama semakin timbul garisan cahaya berwarna putih di depan. saya terus melekat kat tingkap. tak nak terlepas peluang ini. perlahan-lahan cahaya itu makin jelas..mula dapat melihat awan terang di depan sana, sedang di belakang saya keadaannya gelap. dan….apabila berada di tengah-tengah perubahan 2 alam ini…terasa amat kerdilnya diri dengan Pencipta dunia ini.

betapa Dia tetap memberikan rahmat dan nikmat kehidupan kepada setiap hambanya..biarpun kita sering lalai dengan arahanNya. kapal terbang terus menuju ke arah awan yang terang itu..dan meninggalkan waktu malam di belakang kami.

7.30 pagi – pilot buat pengumuman, katanya anggaran lagi sejam sampailah malaysia.

7.30 – 8.30 pagi – leka melihat awan gemawan yang putih bersih..lembut dan gebu… terkadang ada yang bentuknya seperti buih-buih di cawan capucino, ada juga yang nampak macam kekabu yang mak selalu buat bantal dulu. eh!..nampak pulak yang macam bentuk kapas kat hospital tu..hehe..macam-macam bentuklah awan ni kan….ke..saya yang terlebih berimaginasi? hahaha….

tiba-tiba…saya melihat sekelompok awan…lain macam benar bentuknya. hmmm…seperti ku penah lihat awan itu….tapi di mana ye? owhhhh…..itulah dia!!  awan malaysia. dah sampai sepang daaaaa….kihkihkih…

 

ddmk: syukur selamat sampai di bumi bertuah..:)

harapanku biarlah bercerai nyawa

15.09.2001:

“dah pukul 12 tengahari….mano pengantin eh tak sampai-sampai yo lae ha? akad nikah patut dah langsung dah ni. along kau poe jomput pengantin kek kualo pilah pun sosek ko?”. mak pengantin perempuan dah bising.

sedang pengantin perempuan pula dari tadi sibuk posing tak abis-abis atas pelamin. tersenyum simpul…aduhh senyum meleret manjang…lekuk lesung pipi menambah seri. semerah bibirnya dioles lipstik semerah itu jugalah inai dijari. dalam hati berbunga-bunga, walaupun debaran makin terasa namun inilah hari yang ditungu-tunggu. tempoh bertunang hanya setahun …cukuplah tu.

al-maklumlah dah kenal dari sekolah. cik abang tak nak ikat lama-lama…takut bunganya dikebas orang. hehehe….itupun bukan senang cik abang nak pikat bunganya. hanya mereka yang rapat saja tahu kisah penuh nostalgia yang kekal terpahat di sekolah tuanku muhammad, kuala pilah.

setahun sebelum itu:

perbincangan dengan mak sampai ke penghujungnya. “macam mana ni mak..apa pendapat mak?”.  dan mak bersuara..”orang tuo-tuo dulu ado cakap, orang perempuan kalau nak pilih jodoh…biar orang lelaki tu sayang kito lobih dari kito sayang kat dio. memanglah kito raso kito dah sayang abih kat dio, tapi lagi baik kalau dio lae tinggi sayang eh kat kito”

hmmm….itulah baris kata-kata mak yang menjadi pegangan saya waktu itu untuk membuat keputusan menentukan pasangan hidup. bukan mudah sebenarnya untuk membuat pilihan…

15.09.2011:

dan di hari yang penuh bersejarah ini, alhamdulillah…genaplah 10 tahun saya bergelar isteri kepada Rahmat Rizah bin Abdul Razak…seorang budiman yang mula meminati saya sejak melihat wajah ini buat kali pertamanya.

saat  terpandang saya sebagai pelajar baru yang melangkah masuk ke kelas tingkatan 6. sudah gelisah hatinya, tak tentu arah, terdetik pula difikirannya…”inikah isteriku?”. sejak hari itu bermulalah episod demi episod yang melucukan, merimaskan dan memeningkan kepala. sedang saya pula…acuh tak acuh saja. eleh…macam bagus jer mamat ni. tak hingin!!

nah…sekarang?  telah 1 dekad saya hidup bersama mamat tu.

pesanan buat kekanda:

terima kasih kerana bersama diriku mengharungi segala kemanisan dan kepahitan hidup kita… terima kasih juga kerana menyayangiku walaupun masih ada kekurangan yang belum ku isi untukmu… halalkanlah makan dan minumku selama ini.

ampunilah segala kesalahanku, kiranya tiadalah panjang umurku untuk bertemu ulangtahun seperti ini tahun hadapan…izinkanlah pemergianku dengan penuh keredhaanmu.

ddmk: hidup kita ada penghujungnya, maka setiap detik sangat istimewa….hargailah.